September 18, 2011

PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN JENAZAH - Orang Tengah.


بسم الله الرحمن الرحيم

إن الله يعلم غيب السموت والارض
والله بصيربماتعملون .

Al Quran-Surah Al Hujuraat(Kamar-Kamar) Ayat: 18.
yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang 
ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah
Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.


Hj Mohd Ismail Bin Mohd Hashim

Assalamualaikum saudara dan saudari yang dikasihi Allah swt.

Kuliah hari ini membimbing kita kepada salah satu bahagian 'perancangan' daripada pengurusan jenazah yang seiring dengan perkembangan arus semasa di dalam dunia serba maju yang kadang-kala sukar kita memahaminya.  'Perancangan' dalam pengurusan jenazah amatlah penting, agar ianya berjaya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya tanpa dengan sebarang halangan. Justeru itu pegawai-pegawai Masjid, Surau dan juga anak-anak kariah disarankan supaya mempelajari serta meninjau dari semua aspek dalam 'Pengurusan dan Pentabiran Jenazah' secara berkumpulan. Bukan hanya sekadar menceburi aspek-aspek Mandi mayat, Kafan mayat, Sembahyang mayat, dan Menanam mayat sahaja, tetapi lebih jauh daripada itu yang mesti kita tinjau dan tidak pernah pula terbayang selama ini dalam kehidupan kita, dan inilah rahsia dalam ilmu 'Pengurusan dan Pentadbiran Jenazah'. Supaya ianya dapat melahirkan pelapis-pelapis muda yang terlatih dalam perihal mengurus dan mentadbir jenazah dengan secara mahir lagi berkebolehan. Insha Allah.

Tajuk pada hari ini ialah: 'Pengurusan Dan Pentadbiran Jenazah - Orang Tengah'.

Harus kita bersama-sama dapat mengenal pasti orang-orang yang hendak dipertanggungjawabkan bagi mewakili waris-waris terdekat si mati dalam segala urusan perbelajaan bagi menguruskan sesuatu mayat. Dalam sesebuah kariah dipercayai terdapat 5 golongan yang bersabit dengan penguruskan jenazah Islam: 
  1. Pihak Masjid - Lajnah Pengurusan Jenazah yang ditadbir sendiri oleh Jawatankuasa Masjid.
  2. Pihak Pengurusan Jenazah (Undertaker) yang dilantik oleh Jawatankuasa Masjid.
  3. Pengurusan Jenazah Bebas (Independent Undertaker).
  4. Pengurusan Jenazah (yang dikendalikan sendiri oleh ahli waris-waris terdekat si mati).
  5. Orang Tengah (seorang yang bukan daripada pihak Masjid atau Surau).
Sebagaimana dimaklumkan dalam sebahagian daripada hukum syarak, segala perbelanjaan bagi menguruskan jenazah si mati diambil daripada harta peninggalannya atau waris-warisnya. Harus difahamkan di sini bahawa kadang-kadang berlakunya pada perbelanjaan yang tidak munasabah di dalam pengurusan jenazah tersebut di mana keadilan dan amanah tidak diperkasakan samasekali. Ada pula nampaknya munasabah tetapi penyelewengan belaku secara tidak disedari oleh sesiapa mahupun waris-waris si mati.

Contohnya, kos perbelanjaan lengkap pada pengurusan jenazah di sesuatu tempat mungkin hanya memerlukan wang sebanyak RM1000.00 sahaja, sebagaimana yang di tetapkan oleh pihak masjid atau lain-lain badan yang terlibat. Tetapi wang peruntukan sebanyak RM1500.00 yang disediakan oleh waris si mati hanya RM1000.00 sahaja yang digunakan dan persoalannya, di mana perginya baki wang peruntukan sebanyak RM500.00 lagi? Mungkin ada pihak-pihak yang tertentu yang menyalah guna wang tersebut dan kalau ditanya pun mereka akan berkata: "Wang diserahkan semuanya kepada pihak Masjid". 

Perkara seperti ini masih berlaku dan kerap kedengaran di sana sini dengan agak sekian lama dan adakah ianya akan berterusan sampai bila? Perlu di ingatkan di sini, bahawa semua perbelanjaan pengurusan sesuatu mayat itu hendaklah dengan seberapa yang ringan atau sederhana kosnya, dan tidaklah terlalu berat sampai membebankan waris-waris si mati. Untuk mengelakkan kekeliruan seperti ini tidak belaku dan berulangan  maka disarankan:
  1. Waris bermusyuarat secara telus dan ikhlas dengan pihak masjid atau pengurusan jenazah yang terbabit sahaja di dalam hal-hal perbelanjaan pengurusan si mati. 
  2. Waris si mati dinasihati tidak menggunakan wakil-wakil atau 'orang tengah' yang tiada dikenalpasti kewibawaannya.
  3. Mengeluarkan salinan penyata perbelanjaan di atas segala kos pengurusan jenazah terus kepada waris si mati oleh pihak masjid atau daripada pengurusan jenazah yang terlibat.
Kekeliruan yang berlaku, adalah disebabkan oleh segelintir yang mencari peluang mengaut keuntungan sehingga ada pula pihak-pihak lain pula yang menanggung malu di atas perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut. Sekian dengan harapan bertemu kembali dalam kuliah-kulia yang lain. Insha Allah.

Wassallam.




No comments: