September 19, 2010

September 17, 2010

Mayat Islam Yang Bermasalah

1) Mayat yang tidak hadir pada negeri.
Memadai dengan solat ghaib sahaja.
Rujuk: Hadis Sahih Muslim Jilid 2 : 903 dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada hari kematian Najasyi (Raja Habsyah), Rasulullah saw. mengumumkannya pada orang ramai. Sesudah itu beliau ke mushalla, lalu beliau takbir empat kali (shalat ghaib)".

2) Mayat yang tidak dapat dikenalpasti.
Sebaik-baiknya dikenalpasti dahulu sama ada Islam atau tidak oleh pihak hospital, atau pihak berkuasa, atau waris-warisnya yang terdekat. Jika mayat terlalu uzur sebab-sebab kemalangan dan sebagainya, eloklah mayat tersebut diuruskan di hospital sahaja.

3) Mayat yang tidak cukup anggota badannya.
Seperti adanya sesuatu suku atau sebahgian anggotanya, maka diperbuat seperti biasa mandi, kafan, sembahyang, dan mengkebumikannya. Hendaklah berniat pada sembahyangnya: " Sahaja aku sembahyang atas sekalian perhimpunan tubuh mayat lelaki/perempuan ini empat takbir menjadi Imam/mengikut Imam kerana ALLAH TAALA ". Jika berjumpa pula sebahagian anggota yang lain seperti tangan atau kakinya selepas mayat dikebumikan, maka wajib sebahagian anggota itu dimandikan, dibungkus, ditanam, tanpa diulangi sembahyangnya.

4) Mayat di tengah lautan.
Jika belaku kematian di tengah laut dan pendaratan sangatlah tipis, maka mayat diperbuat seperti biasa, mandi, kafan, sembahyang, tetapi:
  1. Dikebumikan ke dalam laut degan mengikat batu atau besi supaya mayat itu dapat ditenggelamkan ke perut laut, atau
  2. Mayat diikat ke atas dua keping papan (seperti rakit), supaya dibawa ombak dan arus menuju ke daratan besar dengan mengharapkan orang Islam akan jumpa dan mengkebumikannya.    
* Pada kapal yang canggih sekarang ini, biasanya mayat disimpan dalam bilik sejuk khas, dan mayat akan di serahkan kepada pihak berkuasa apabila kapal tersebut tiba di perlabuhan yang terdekat.

5) Mayat Islam yang bercampur dengan mayat kafir atau yang diragui syahidnya.
Mayat Islam yang diragui syahidnya yang bercampur dengan mayat kafir - Kerana dengan ketiadaan yang yakin untuk mengerjakan yang wajib itu. Maka wajib dimandikan, dikafan, dan disembahyangkan tiap-tiap mereka itu di atas dua perkara:

1.Terlebih afdal disembahyangkan semua mereka itu dengan sekali sembahyang. Dengan niat menyembahyang ke atas mayat Islam atau yang bukan syahid dari mereka itu, dan hendaklah dibaca doa selepas (takbir yang ketiga) seperti berikut:
                                 
  ْاَللَهُم اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِ مِنْهُم  
"Allahumagfirlilmuslimiminhum"                                                                                    
Maksudnya: "Ya Allah ampunkanlah bagi yang Islam di antara mereka".

2. Disembahyangkan ke atas seorang demi seorang. Dengan niat sembahyang atasnya jika ada mayat itu Islam, atau yang bukan syahid, dan hendaklah dibaca doa selepas (takbir yang ketiga) seperti berikut:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ اِنْ كَاَنَ مُسْلِمَا 
"Allahumagfirlahuinkanamuslima"

Maksudnya: "Ya Allah ampunkanlah oleh Mu baginya jika ia orang Islam".

Rujuk doa dalam tulisan Arab: ' Mastika Hadis Raulullah saw '. Jilid 2 ms.418


6) Mayat "Kembar Siam".
Manusia dilahirkan kembar dengan bercantum satu sama lain. Lelaki bercantum sesama lelaki, perempuan sesama perempuan, dan lelaki bercantum sesama perempuan.

Masalah pertama, jika mati kedua-duanya sekali yang sejenis dewasa atau kanak-kanak, maka diperbuatkanlah pada hak si mati seperti: mandi, kafan, sembahyang, dan dikebumikan.

Masalah kedua, jika mati salah seorang daripada mereka itu, yang dewasa atau kanak-kanak sama ada lelaki atau perempuan. Hendaklah berikhtiar supaya dapat dipisahkan terlebih dahulu daripada yang hidup dengan yang mati. Jika tidak diizinkan Allah s.w.t. untuk dipisah, setelah dinasihati oleh pakar bedah atau doktor, jika matinya yang lelaki, sembahyang mayatnya diletakkan di sebelah kiblat. Pada yang hidup di mandikan sahaja dan deperbuat pada hak si mati pada wajib mandi, kafan, sembahyang dan tidak dikebumikan. Jika gugur mayat yang bercantum, maka wajib pada menanamnya.

Masalah ketiga, kembar siam yang lelaki dan perempuan, dan diperbuat akannya pada hak sebagai yang lelaki dan memelihara pada hak-hak pada yang perempuan. Perlaksanaannya adalah seperti di Masalah kedua.

Rujuk Kitab: 'Bughyatu al-Tulab' 2:7


7) Pindah mayat yang jauh.
Haram membawa mayat ke tempat yang jauh daripada tempat matinya jika ada terdapat perkuburan orang Islam yang berhampiran, dan tidak pula menjadi haram, jika ia berhampiran pada bumi Mekah, Madinah dan Baitulmaqdis. Jika tidak takut berubah mayat dengan sebab kelebihan seperti boleh sampai dengan secepat mungkin, maka ianya menjadi sunat.

Rujuk Kitab: 'Bughyatu al-Tulab' 2:30


8) Mayat di tanam pada bumi rampasan.
Ditanam mayat pada bumi yang tidak dapat kebenaran dan kelulusan, maka wajib kubur itu dibongkar dan dipindahkan kepada bumi masjid atau tanah perkuburan Islam yang sah. Begitu juga dengan kain kafan rampasan atau kain curian wajib kubur itu dibongkar dan digantikan dengan kain kafan yang lain, kecuali dimaafkan dan dihalalkan oleh tuannya.

9) Anak yang gugur.
a) Anak semasa gugur daripada perut ibunya, jika diketahui ada tanda-tanda hidupnya dengan suara atau menangis, bergerak-gerak tubuhnya maka hukumnya diperbuat seperti orang biasa dan wajib pada  mandi, kafan, sembahyang, dan dikebumikannya.

b) Jika tiada diketahui atau tiada nyata akan hidupnya seperti tiada bernyawa, tetapi nyata ianya berupa manusia maka wajib pada  mandi, kafan, dan dikebumikannya.

c) Jika tiada sampai empat bulan sekalipun dengan nyata tiada rupa manusia, maka tiada wajib diperbuat apa-apa, hanya sunat dibungkus dengan kain dan dikebumikan.

d) Jika sampai empat bulan sekalipun dengan tiada nyata hidupnya, maka hukumnya wajib pada mandi, kafan, dan dikebumikan.

e) Pada pendapat Syeikh Ramli dalam Nihayah, bahawasanya anak yang gugur dalam perut ibunya  apabila sampai enam bulan atau lebih maka wajib disembahyangkan sama ada nyata hidupnya ataupun  tidak. Tetapi berlawanan pula dengan pendapat Syeik Ibn Hajar dalam Tohafah yang mengatakan haram disembahyangkan.

Rujuk: Kitab 'Bughyatu al-Tulab' 2:25

10) Anak angkat yang kafir.
Bayi serta kanak-kanak 'kafir' yang umurnya belum baligh yang diambil pelihara oleh keluarga Islam, tiba-tiba mati. Maka hukumnya harus dimandi, dikafan, dikebumikan dan haram disembahyangkan oleh orang Islam.

11) Haram membongkar kubur.
Haram membongkar kubur selepas mayat dikebumikan dan sebelum hancurnya mayat, kerana hendak dipindahkan  kepada tempat lain, sekalipun kepada bumi Mekah kecuali dengan dharurat, seperti mayat  tidak disucikan, atau dikhuatiri pada mandinya, wuduknya, atau pada tayamumnya dan hukumnya wajib dibongkar dan disuci semula.

12) Mayat dalam bumi yang terhakis.
Mayat dalam bumi yang terhakis oleh sebab arus air yang melarikan tanah atau tanah runtuh, tenggelam dan sebagainya. Jika dikhuatiri hingga ternampaknya mayat, maka hendaklah dipindahkan mayat tersebut kepada tanah atau bumi lain yang tinggi.

13) Haram - menyembahyangkan atas mayat kafir dan atas yang disyaki pada Islamnya dan tiada wajib orang Islam memandikannya.

14) Dharurat - seperti dalam bencana alam, banjir atau tsunami yang berpuluhan atau ratusan kilometer luasnya. Jika suasana di sana tidak ada laki-laki tetapi ada kanak-kanak mumaiyiz yang enggan menyembahyangkan mayat tersebut maka gugur fardhunya dengan dikerjakan oleh kaum perempuan dengan syarat sembahyang itu kemudian daripada mandi dan tayamum dan jika sukar pada mandi dan tayamum maka tiadalah disembahyangkan mayat tersebut.

Rujuk: Kitab Sabil al-Mukhtadin   سبيل المهتدين    Bhg:2 ms:79.

15) Tayamum pada mayat - Tayamum pada mayat adalah seperti tayamum pada orang yang masih hidup. Tayamum pada mayat yang mengharuskan sembahyang ke atasnya, dan dirujuk kepada sebab-sebab yang berikut:
  1. Kerana ketiadaan air.
  2. Badan uzur dan tidak boleh dimandikan (seperti melecur, terbakar dan sebagainya).
  3. Mayat lelaki pada suatu tempat yang terpencil hanya ada kaum perempuan sahaja (bukan mahrimnya). Sarong tangan diperlukan (Perkara 14 di atas ada kaitan).
  4. Mayat perempuan pada suatu tempat yang hanya ada kaum lelaki sahaja(bukan muhrimnya). Sarong tangan diperlukan.
  5. Mayat kanak-kanak lelaki dan dewasa yang belum berkhatan, boleh ditayamum ganti dan disembahyangkan mengikut pendapat Sheikh Ibn Hajar. Berlainan dengan pendapat Sheikh Ramli dengan tidak disembahyangkan mayat tersebut. 


Rujuk: Kitab 'Bughyatu al-Tulab'  بغية الطلاب   Bhg.2 ms:10 dan 11.




September 16, 2010

Mayat bayi dan kanak-kanak pada mandi, kafan, serta solatnya




Ghusul
(Mandi)
Kafan
Solat
Jenazah
Kebumikan
1
4 bulan kebawah (120 hari)

Tidak
Bungkus
Tidak
Ya
2
4 Bulan genap dan tiada nyata tanda hidupnya.

Ya
Ya
Tidak
Ya
3
6 Bulan genap hingga ke atas.

Ya
Ya
Ya
Ya
4
Bayi dan kanak-kanak kafir yang belum baligh yang diperlihara oleh orang Islam.

Ya
Ya
Tidak
Ya















  
Rujuk: Mayat Islam yang bermasalah bth. September 17, 2010.





September 15, 2010

Bacaan Pada Empat Takbir Dalam Sembahyang Mayat








Maksudnya: Ya ALLAH, ampunilah dosanya dan kasihanilah kepadanya dan berikanlah kesejahteraan kepadanya dan maafkan kesalahannya. Hormatilah kedatangannya dan sediakan tempat tinggal yang selesa. Dan bersihkan dia dengan air salji dan air sejuk yang bersih. Hapuskan dia dari semua dosa, bagaikan kain puteh yang dibersihkan dari kekotoran. Dan gantikan rumahnya lebih baik dari rumahnya yang telah ditinggalkan. Dan gantikan ahli keluarganya dengan yang lebih baik daripada keluarga yang dahulu. Dan gantikan pasangan dengan pasangan yang lebih baik daripada pasangan yang lepas. Dan masukanlah dia ke dalam Syurga. Dan peliharakanlah dia daripada azab kubur dan perkara-perkara yang membawa fitnah. Dan lindungilah dia daripada seksa azab Neraka.





September 14, 2010

Lafaz Niat Sembahyang Mayat













Syarat dan Rukun Sembahyang Mayat



Sembahyang atau solat jenazah amatlah mudah berbanding dengan solat-solat yang lain, kerana ianya tidak perlu rukuk, sujud dan duduk. 


Syarat-syarat sembahyang mayat atau jenazah adalah sama seperti solat-solat yang lain:
  1. Menutup aurat.
  2. Suci daripada hadas dan berpakaian bersih.
  3. Mengadap Kiblat.
  4. Sesudah mayat dimandikan atau tayamum dan dikafankan.
  5. Meletak mayat melintang di sebelah Kiblat, di depan orang yang menyembahyangkannya.
  6. Yang menyembahyangkannya(Imam dan Makmum), dan jaraknya di antara jenazah dan orang yang solat jenazah tidak melebihi 300 hasta melainkan di dalam masjid yang sama.
  7. Mayat orang Islam.
Rukun sembahyang mayat ada tujuh perkara:

1.      Niat
2.      Berdiri betul
3.      Empat takbir termasuk Takbiratul Ihram.
4.      Membaca Fatihah selepas Takbiratul Ihram.
5.      Membaca selawat atas nabi selepas Takbir yang kedua.
6.      Doa bagi mayat selepas Takbir yang ketiga.
7.      Memberi salam selepas Takbir yang keempat.

Perkara-perkara sunat dalam sembahyang mayat:

1.    Jika mayat lelaki – Imam berdiri tentang kepalanya.
            2.  Jika mayat perempuan - Imam berdiri tentang pinggangnya.
3.    Menyembahyangkan mayat di masjid.
4.    Berjamaah menjadikan makmum sebanyak tiga saf (barisan).
5.  Mengangkatkan kedua tangan semasa mengucapkan ke empat-empat
     takbir dan meletakkan di ataspusat di bawah dada.
6.    Membaca “Auzubillah”, sebelum membaca Fatihah.
7.    Memperlahankan semua bacaan walaupun pada waktu malam.

Nota: Jika takbir Imam lebih daripada empat kali, tiada sunat bagi makmum mengikutinya pada yang lebih tadi hanya hendaklah berniat memberi salam bersamanya, inilah yang afdal.



Rujuk kitab: Bughyatu al-Tulab Bhg.2 ms 18.







September 13, 2010

Kedudukan Imam Pada Sembahyang Mayat



Sembahyang jenazah lelaki - Imam berdiri di pihak kepala mayat.





Sembahyang jenazah perempuan - Imam berdiri di pihak pinggang mayat.






September 12, 2010

Permit Menguburkan (Am 138 - Pin.1/78).

Undang-undang di Malaysia, "Permit Menguburkan" perlulah diperolehi daripada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum mengkebumikan mana-mana mayat. Jikalau si-mati meninggal dunia di rumahnya maka waris yang terdekat hendaklah melapurkan kematian tersebut di Balai Polis yang berdekatan bagi mendapatkan "Permit Menguburkan". Jikalau si-mati meninggal dunia di Hospital, maka pihak hospitallah yang bertanggungjawab mengeluarkan "Permit Menguburkan" kepada waris-waris terdekat.


Permit Menguburkan

Waris si-mati hendaklah menyerahkan satu salinan fotokopi "Permit Menguburkan" tersebut kepada penggali kubur dan seterusnya disimpan oleh pihak masjid. Salinan asal adalah untuk waris terdekat bagi melapurkan kepada "Pejabat Pendaftaran Negara" yang berhampiran untuk mendapatkan "Sijil Kematian" bertujuan  bagi waris-waris untuk membuat persiapan menuntut harta pesaka si mati kelak.



Rujuk pada Permit Mengubur yang baru:
http://islamicundertaker.blogspot.com/2011/12/prosedur-baru-permit-mengubur.html



September 07, 2010

Pengurusan Jenazah Islam Semasa Bencana Alam

Bencana alam dalam bentuk kerosakkan di muka bumi yang sukar diduga seperti banjir, tanah runtuh, letupan gunung berapi, gempa bumi, perang, ombak tsunami, dan sebagainya. Ini jelas sepertimana yang tersebut dalam Quran dalam surah Az Zalzalah (kegoncangan) - 8 ayat semuanya, dan tidak hiranlah kita semua tidak akan terlepas daripada fenomina tersebut hanya ALLAH sahaja yang mengetahuinya. Walaubagaimanapun kita selalu berdoa di dalam solat-solat harian agar negara kita sentiasa aman dan  maamur serta terselamat daripada segala dugaan bencana alam.

Pihak kerajaan telah lama menggambil langkah-langkah atau persiapan-persiapan jika belakunya bencana alam, hanya ianya tidak dipraktik secara olok-olok (public disaster drill) serta pula tiada diketahui umum tentang selok-belok perlaksanaan tersebut. Maka disarankan ianya perlu didedahkan kepada umum melalui penerangan-penerangan agar rakyat dapat mengetahui serta dapat bertindak dengan sistematik (plan of action) apabila berlakunya sesuatu bencana alam.

Contoh Carta Pengurusan Jenazah Semasa Dharurat

Senario Pengurusan Jenazah Islam Semasa Bencana Alam - Dharurat.

Pengurusan jenazah semasa berlakunya bencana alam, merupakan suatu tugas yang amat rumit sekali bagi pengurus-pengurus jenazah jika dibandingkan dengan pengurusan jenazah semasa aman. Pengurus-pengurus jenazah tidak lagi bebas mengurus jenazah sepertimana biasa dilakukan, tetapi akan diawasi dan diarah oleh pihak berkuasa dan Jabatan Agama. Dalam bencana alam yang meliputi kawasan yang begitu luas dan berkemungkinan ramai yang hilang, cedera ataupun terkorban. Bagi yang hidup akan ditempatkan di pusat-pusat penempatan khas yang cedera di tempatkan di hospital-hospital berdekatan dan yang terkorban pula akan menjadi tanggungjawab pihak masjid bagi mengurus jenazah yang akan dibantu oleh pihak polis, tentera, hospital, sukarelawan dan serta dipantau oleh Jabatan Agama dari masa ke semasa.

Jabatan Agama pula adalah sebagai penasihat agama tentang pengurusan jenazah dan ianya di bawah pemerintahan Pusat Gerakan Dharurat atau Markas Operasi, yang akan menyalurkan bantuan-bantuan urusan jenazah kepada pihak-pihak masjid seperti, kain putih, bag plastik mayat, dan jika perlu tanah perkuburan yang lebih besar, maka hal yang sedemikian akan dikemukakan kepada pihak atasan. Semua ini bergantung kepada tahap dan keluasan bencana alam itu sendiri, ada tahap kecil, sederhana, yang besar, dan tahapnya boleh berubah-ubah dari masa ke semasa.


 Bencana Alam Ada 3 Tahap.

1) Tahap Kecil - mudah dikawal. 
    26 Dis, 2004 - Tsunami di Kuala Muda, Kedah - 12 kematian -
    1000 penduduk terlibat.

2) Tahap Sederhana - sukar dikawal.
    10 Aug, 2010 - Banjir di Gansu province,Cina.- 36 kematian, 23 hilang,
    295 cedera, - 120,000 penduduk dipindah.

3) Tahap Besar - tidak terkawal.
    2 Aug, 2010 - Banjir di Pakistan - lebih daripada 1500 kematian -
    21 juta penduduk terlibat.


    Apa akan terjadi kepada anda semasa berlakunya trajedi bencana alam?
    1. Anda mungkin hilang, ataupun terkorban.
    2. Anda mungkin terpisah dari tempat tinggal, kehilangan harta benda, ataupun keluarga.
    3. Anda mungkin dalam keadaan kebingungan kecuali anda bersabar dan redha.
    4. Anda mungkin cedera dan dimasukan ke hospital yang berdekatan.
    5. Anda mungkin terselamat dan ditempatkan ke Pusat Penempatan yang berdekatan.
    6. Anda yang berkemahiran, akan disalurkan kepada tugas-tugas khas sejajar dengan  kemahiran anda. Seperti pengurus jenazah akan ditempatkan di masjid atau hospital bagi membantu dalam pengurusan mayat-mayat secara sukarela sehinggalah bencana alam tersebut diistiharkan berakhir.
    7. Anda mungkin menjadi sukarelawan dan perkhidmatan anda sangat-sangat diperlukan semasa bencana alam demi untuk agama, bangsa, dan negara.         

    Contoh Carta Bencana Alam Malaysia


    "KHIDMATLAH DENGAN PENUH KEIKHLASAN" 


    Lihat Website: 
                           http://www.tsunami in malaysia
                           http://www.flood in pakistan
                           http://www.flood in china



    September 03, 2010

    Pengurus Jenazah Harus Memahami Kemampuan Si-Mati

    Seorang yang mengurus jenazah haruslah memahami kedudukan si-mati dari sudut kewangan yang akan diperuntukkan bagi mengurus jenazahnya. Maklumat-maklumat ini diperolihi semasa mesyuarat kecil dijalankan dengan waris-waris terdekat si-mati. Kadang-kadang ianya menjadi sukar bagi mengurus jenazah si-mati yang kurang ataupun tidak berkemampuan berbanding dengan si-mati yang berkemampuan. Terdapat 4 sudut yang harus kita lihat bersama supaya ianya boleh dikenalpasti dan ditangani dengan baik dalam pengurusan jenazah.


    1.  SI-MATI  

         a) ADA HARTA                         
             Bagi mengurus mayatnya.

         b) ADA HARTA
             Bagi membayar zakat, hutang, wasiat dan paraid.

    2.  SI-MATI

         a) ADA HARTA                                        
             Bagi mengurus mayatnya.                      

         b) TIADA HARTA
             Untuk membayar zakat, hutang, wasiat dan paraid.

    3.  SI-MATI

         a) TIADA HARTA                                    
             Untuk mengurus mayatnya.                      

         b) ADA HARTA
             Bagi membayar zakat, hutang, wasiat dan paraid.

    4.  SI-MATI

         a) TIADA HARTA                                     
             Untuk mengurus mayatnya.                  

         b) TIADA HARTA
             Untuk membayar zakat, hutang, wasiat dan paraid.



    Lihat blog ini: Perbelanjaan Mengurus Mayat - August 16, 2010.