KENYATAAN MEDIA
DATO` JARIAH MOHD SAID
KETUA PENGARAH
JABATAN PENDAFTARAN NEGARA
PROSEDUR BARU DAFTAR KEMATIAN / PERMIT
MENGUBUR BAGI SEMENANJUNG MALAYSIA
29 NOVEMBER 2011 (SELASA)
1. Mulai 1 Disember 2011, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memperkenalkan inovasi baru bagi Dokumen Daftar Kematian / Permit Mengubur di Semenanjung Malaysia sepertimana yang telah diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 39(h) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).
2. Melalui prosedur baru ini, pemaklum sesuatu kematian boleh melaporkan kematian yang berlaku dimana-mana Balai Polis, Hospital atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menggunakan borang baru Daftar Kematian/Permit Mengubur JPN.LM02 (Pin.1/11). Sebaik sahaja laporan kematian diterima, pemaklum akan diberi satu salinan Daftar Kematian/Permit Mengubur JPN.LM02 (Pin.1/11) yang akan digunakan bagi urusan pengebumian jenazah/mayat dan secara automatiknya bermakna kematian tersebut telah diterima dan didaftarkan di JPN. Pemaklum hanya perlu hadir ke JPN bagi mendapatkan Sijil Kematian (JPN.LM03) sahaja.
3. Kaedah baru ini dapat mengatasi karenah birokrasi kerana pemaklum hanya perlu melaporkan sekali sahaja bagi sesuatu kematian untuk mendapatkan dua dokumen iaitu Permit Mengubur dan Sijil Kematian dalam satu masa. Berbeza dengan prosedur sebelum ini, yang memerlukan pemaklum membuat laporan kematian sebanyak dua kali, iaitu di agensi pengesah kematian bagi mendapatkan Permit Mengubur dan membuat laporan kematian bagi kali kedua di JPN untuk memohon Sijil Kematian.
4. Inovasi yang diperkenalkan oleh JPN ini, dapat meningkatkan keupayaan dan kecekapan JPN mengemaskini Sistem Informasi Rekod Kependudukan Negara melalui perkongsian maklumat diantara JPN dan agensi agensi kerajaan yang lain, khususnya kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Perkongsian maklumat ini secara langsung dapat membantu SPR dalam usaha mengemaskinikan rekod kematian di dalam daftar pemilih secara online melalui Agency Link Up System (ALIS).
Rujuk:
No comments:
Post a Comment