April 02, 2011

Berdiri Apabila Mayat Dibawa Masuk Ke Dalam Masjid.


Sunat berdiri apabila melihat mayat di bawa masuk ke dalam masjid sebagai tanda penghormatan bagi mayat lagi  bersesuaian dengan hadis yang tersebut di bawah ini:

Rasulullah s.a.w., bersabda:

                     عَنْ عَامِرِبْنِ رَبِيْعَةَ عَنِ النَّبِىِّ ص م قَالَ
اِذَارَاَى اَحَدُكُمْ جَنَازَةً فَاِنْ لمَ ْيَكُنْ مَاشِيًا
مَعَهَاقَلْيَقُمْ حَتىَّ يُخَلِّفَهَا اَوْتُخَلِّفَهُ اَوْتُوْضَعَ
مِنْ قَبْلِ اَنْ تُخَلِّفَهُ.
         
Hadis sahih Bukhari dan Muslim dari Amir Bin Rabiah r.a. 

Maksudnya:
"Apabila seseorang kamu melihat jenazah, jika kamu tidak turut mengikutinya, berdirilah sampai ia meninggalkan jenazah itu, atau jenazah itu meninggalkannya, atau diletakkan oleh pembawanya".



April 01, 2011

Orang Yang Telah Mati Sentiasa Berhajat Kepada Doa.


Firman Allah s.w.t.,
Surah Ibrahim-Ayat 41.


رَبَّنَااغْفِرْلِى وَلِوَلِدَىَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَيَقُومُ الْحِسَابُ.

Maksudnya:
Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin  pada hari terjadinya hisab(hari kiamat).


Firman Allah s.w.t.,
Surah Al Hasyr (Pengusiran)-Ayat 10.


وَالَّذِينَ جَآءُومِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ
 رَبَنَا اغْفِرْلَنَا وَلاِءِخْوَنِنَاالَّذِينَ سَبَقُونَا
باِلأِيمَنِ وَلاَتَجْعَل فِ قُلُوبِنَاغِلاَّ لِلَّذِينَ
ءَامَنُوارَبَنَآإِنَّكَ رَءُوفُ رَحِيمُ. 

Maksudnya:
Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: "Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang".


Majlis tahlil diiringi dengan doa. 


"Kenangkanlah daku dalam doamu". Rayuan ini bukan sahaja terpancar dari hati orang yang hidup terhadap orang yang hidup, malah ianya juga sentiasa dirayukan oleh orang yang telah mati.

Tersebut dalam hadis:
"Orang yang mati dalam kuburnya adalah seperti orang yang tenggelam yang meminta pertolongan. Ia menunggu sampai kepadanya rahmat sesuatu doa dari anaknya, atau saudaranya ataupun sahabat handainya. Apabila rahmat doa itu sampai kepadanya tidaklah terkira sukacitanya dan dirasainya rahmat doa itu yang lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya hadiah orang-orang yang hidup kepada orang-orang yang mati ialah doa dan istigfar".

Tersebut dalam hadis:
"Bahawa roh orang-orang mati datang beramai ke langit dunia pada tiap-tiap malam dan berhenti bertentangan dengan rumah masing-masing. Tiap-tiap satu roh menyeru berkali-kali dengan suara yang hiba dan sayu, katanya: Wahai ahli rumahku, wahai kaum kerabat dan anak-anakku, wahai orang-orang yang telah mendiami rumah kami, dan yang telah membahagi dan menerima harta pusaka peninggalan kami, adakah sesiapa di antara kamu yang masih ingat kepada kami, atau yang pernah memikirkan keadaan kami yang sedang  berrada di alam barzah.....kenanglah kami dan bantulah kami dengan doa dan amal-amal yang soleh, semoga Allah memberi rahmat kepada kamu.....".

"Setelah puas menyeru dan merayu kembalilah kumpulan roh ketempat masing-masing untuk datang lagi pada malam yang berikutnya. Jika ada yang mendoakannya, kembalilah ia dengan gembira. Jika tidak, kembalilah ia dengan hiba dan hampa".

Kedua-dua hadis ini menerangkan setakat mana berhajatnya orang yang mati kepada doa orang-orang yang hidup. Sebab itulah kita diberi panduan dalam Al Quran: Surah Ibrahim-ayat 41, dan Surah Al Hasyr-ayat 10, supaya tiap-tiap seorang sentiasa berdoa memohon rahmat bukan saja bagi dirinya, ibu bapanya dan kaum kerabatnya, tetapi juga bagi seluruh umat Islam umumnya, yang hidup dan yang mati.

Rujuk: Mastika Hadith Rasulullah s.a.w.Jilid 2 ms 429.
Rujuk: Tanwir Qulub (217).





March 28, 2011

Kaum Perempuan Yang Dilarang Menziarahi Kubur Orang Islam.



Ziarah Kubur Di Tanah Perkuburan Islam Sg.Petani.


Rasulullah s.a.w.bersabda:

عَنِ ابْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ اَبِيْهِ قَلَ
قَلَ رَسُوْلُ اللهُ صَلى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَيْتُكُم عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُوْرِفَزُرُوْهَا...

                                                      Hadis sahih Muslim dari Ibnu Buraidah


Maksudnya:
Dari Ibnu Buraidah, dari bapaknya, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka sekarang ziarahlah...".


Hukum ziarah kubur di sunatkan oleh syarak, kerana ziarah kubur itu mengingatkan orang yang hidup terhadap  soal  mati dan hari akirat, serta membawa rahmat kepada orang-orang mati dengan doa dan istigfar. Rasullullah s.a.w. pernah melarang kaum perempuan menziarah kubur pada suatu ketika dahulu, tetapi membenarkan pula kepada mereka untuk menziarahi kubur, dan janganlah sampai terlarang seperti berikut:
  1. Tidak menutup aurat dengan sempurnanya, mengenakan pakaian yang ketat lagi menjolok mata serta memakai wangi-wangian. 
  2. Tidak bersih diri daripada hadas.
  3. Menangis serta meninggikan suara keteriakan,dan seperti menampar pipi dan dada serta menggoyakan baju.
  4. Makan dan minum, membuang sisa makanan atau sampah pada tanah perkuburan semasa menziarahi kubur.
  5. Bercampur gaul dengan kaum kelaki (bukan muhrimnya) semasa upacara perkubumian mayat.
  6. Bercakap-cakap kosong atau bergurau senda dalam kawasan tanah perkuburan.
  7. Selalu sangat menziarahi kubur, sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap suami dan keluarga. 
Marilah kita sama-sama membuat teguran kepada jalan yang baik jika perkara-perkara tersebut di atas masih  berlaku di dalam masyarakat kita hari ini, semoga kita diberkati Allah adanya. InshaAllah.

Rujuk: Mastika Hadith Rasulillah s.a.w. Jilid 2.ms 424.





March 27, 2011

Menziarahi Perkuburan Orang Islam.




Menurut huraian ulamak rahimallah, orang-orang Islam yang menziarahi perkuburan orang Islam mestilah berperaturan:

1.  Mestilah bersih dari hadas dan sunat ia mengambil air sembahyang (berwuduk).

2. Semasa memasuki pada kawasan tanah perkuburan sunat ia memberi salam secara umum kepada  penghuni-penghuni atau ahli-ahli kubur terlebih dahulu seperti di bawah ini:


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أهْلَ الدِّيَارِ مِنَ اْلمُؤْمِنِينَ وَاْلمُسْلِمِين   
.َوَإِنَّا إِنْ شَاءَاللهُ بِكُمْ لَلاَ حِكُون   


Yang bermaksud: 
Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli kubur ini dari kalangan kaum mukminin dan muslimin, dan bahawa kami juga Insha Allah akan menurut kamu apabila sampai gilirannya.


3.  Apabila sampai ke kubur yang hendak di ziarahi tersebut, hendaklah ia berdiri rapat dengan kubur dengan menghadap kearah muka si mati sambil memberi salam secara khusus kepadanya.Contohnya jika si mati itu ibunya, lafad salamnya ialah: "Assalamualaikum wahai ibuku". Demikianlah seterunya dengan panggilan panggilan lain yang biasa disebut semasa hidupnya dahulu.

4.  Selepas memberi salam, sunat pula membaca Quran dan menghadiahkan pahala kepada si mati.

5. Selepas membaca Quran, hendaklah menghadap kiblat dan berdoa untuk si mati semoga Allah Taala mengampuni dosanya dan melimpahkan rahmat kepadanya, kerana yang didahulukan dengan membaca Quran lebih diharap makbulnya.

Rujuk: Mastika Hadith Rasulullah s.a.w. Jilid 2 ms.427.


February 03, 2011

Memberi Makan Dan Minum Semasa Kematian.


Memberi makan pada orang ramai semasa kematian oleh keluarga si mati, telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita dan seharusnya patut disemak kembali supaya ianya mengikut landasan yang betul mengikut syarak, semoga kita semua mendapat keredaan daripada Allah swt. Ada tiga perkara yang tersebut di bawah ini dimana perlu diingatkan dalam perkara memberi makan kerana ianya boleh jadi:
  1. Sunat,
  2. Makruh, dan
  3. Haram.
1. Sunat hanya bagi jiran sama ada dekat ataupun jauh serta kerabatnya yang memberi makan kepada keluarga si mati cukup pada siang dan malamnya. Khabar berita tentang Saidina Jaafar Bin Abi Talib pada perang Mutah, Nabi berkata: "Perbuatlah oleh kamu makanan bagi keluarga Jaafar..." (Hadis riwayat Ahmad dan Tarmizi).

2. Makruh lagi bidaah bagi keluarga si mati memberi makan kepada orang ramai semasa kematian dan selepas mengkebumikannya. Kata Sheikh Ibnu Hajar, walau dengan si mati berwasiat sekalipun. Tetapi jikalau dengan bernazar maka kata setengah alim ulama sah wasiatnya kerana memberi makan kepada yang datang bertakziah. 

   Kata Sheikh Jamal, makruh lagi bidaah dengan barang yang di makan mempunyai unsur-unsur 'kifarat', 'wahsha', tiga malam, malam ketujuh, malam empatpuluh, malam seratus dan sebagainya. Adalah tiada makruh bagi sesiapa yang ada atasnya sesuatu hak orang, maka hendaklah ianya dikerjakan sepertinya sunat atau wajib.

3. Haram itu pula terjadi jika makanan yang diberikan itu datang daripada harta si mati yang sedang diratapi oleh keluarganya, serta ada hutang-hutang yang belum diselesaikan, anak tanggungan yang ramai dan sebagainya. 


Rujuk Kitab 'Bughyatu al-Tulab' Bhg.2 ms 33 dan 34.
Rujuk Kitab'Furu Al-Masa'il' ms 610 dan 611.
Rujuk Kitab'Sabil al-Mukhtadin' Bhg.2 ms 87.


January 28, 2011

Melambatkan Solat Jenazah.

Perselisihan faham atau pendapat kerap berlaku dalam masyarakat kita dalam hal seperti ini. Melambatkan solat jenazah dibolehkan tetapi hendaklah bersyarat seperti kerana menanti wali, menunggu 40 atau 100 orang hadir sembahyang jenazah secara berjamaah dengan tiada takut berubah keadaan mayat tersebut.
Jikalau terdapat tanda-tanda berubah keadaan mayat seperti berbau maka sembahyang jenazah tersebut hendaklah disegerakan sehingga dikebumikan.

1.Rujuk Kitab: Bughyatu al-Tulab Bgh.2 ms 23. 
2.Rujuk Kitab: Furu Al-Masa'il wa Usul al-Wasa'il ms 577.



November 30, 2010

Kelemahan Dalam Menguruskan Jenazah




Terdapat beberapa kelemahan dalam menguruskan jenazah, terutama dalam penetapan masa pada mandi dan sembahyang mayat yang kerapkali diambil ringan oleh waris si mati atau pihak yang menguruskan jenazah. Sebab-sebab lain adalah seperti berikut: 
  1. Pengurusan jenazah yang kurang cekap di atas empat perkara, mandi, kafan, sembahyang dan mengkebumikan.
  2. Waris si mati kurang yakin pada "Pengurus Jenazah" yang sedia ada.
  3. Waris si mati tidak sepakat dengan "Pengurus Jenazah" semasa mesyuarat bagi menguruskan si mati.
  4. Waris si mati tidak sepakat sesama waris.
  5. Waris si mati membuat keputusan sendiri.
  6. Ada campur tangan pihak ketiga. 
  7. Si mati atau mayat yang tertangguh di rumah sakit seperti sebab-sebab bedah siasat dan sebagainya.
  8. Menunggu si mati dibawa pulang daripada tempat yang jauh.
  9. Tiada mempunyai surat atau "Permit Menguburkan"(Am 138-Pin.1/78) daripada pihak yang berkuasa.