April 02, 2011

Berdiri Apabila Mayat Dibawa Masuk Ke Dalam Masjid.


Sunat berdiri apabila melihat mayat di bawa masuk ke dalam masjid sebagai tanda penghormatan bagi mayat lagi  bersesuaian dengan hadis yang tersebut di bawah ini:

Rasulullah s.a.w., bersabda:

                     عَنْ عَامِرِبْنِ رَبِيْعَةَ عَنِ النَّبِىِّ ص م قَالَ
اِذَارَاَى اَحَدُكُمْ جَنَازَةً فَاِنْ لمَ ْيَكُنْ مَاشِيًا
مَعَهَاقَلْيَقُمْ حَتىَّ يُخَلِّفَهَا اَوْتُخَلِّفَهُ اَوْتُوْضَعَ
مِنْ قَبْلِ اَنْ تُخَلِّفَهُ.
         
Hadis sahih Bukhari dan Muslim dari Amir Bin Rabiah r.a. 

Maksudnya:
"Apabila seseorang kamu melihat jenazah, jika kamu tidak turut mengikutinya, berdirilah sampai ia meninggalkan jenazah itu, atau jenazah itu meninggalkannya, atau diletakkan oleh pembawanya".



April 01, 2011

Orang Yang Telah Mati Sentiasa Berhajat Kepada Doa.


Firman Allah s.w.t.,
Surah Ibrahim-Ayat 41.


رَبَّنَااغْفِرْلِى وَلِوَلِدَىَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَيَقُومُ الْحِسَابُ.

Maksudnya:
Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin  pada hari terjadinya hisab(hari kiamat).


Firman Allah s.w.t.,
Surah Al Hasyr (Pengusiran)-Ayat 10.


وَالَّذِينَ جَآءُومِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ
 رَبَنَا اغْفِرْلَنَا وَلاِءِخْوَنِنَاالَّذِينَ سَبَقُونَا
باِلأِيمَنِ وَلاَتَجْعَل فِ قُلُوبِنَاغِلاَّ لِلَّذِينَ
ءَامَنُوارَبَنَآإِنَّكَ رَءُوفُ رَحِيمُ. 

Maksudnya:
Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: "Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang".


Majlis tahlil diiringi dengan doa. 


"Kenangkanlah daku dalam doamu". Rayuan ini bukan sahaja terpancar dari hati orang yang hidup terhadap orang yang hidup, malah ianya juga sentiasa dirayukan oleh orang yang telah mati.

Tersebut dalam hadis:
"Orang yang mati dalam kuburnya adalah seperti orang yang tenggelam yang meminta pertolongan. Ia menunggu sampai kepadanya rahmat sesuatu doa dari anaknya, atau saudaranya ataupun sahabat handainya. Apabila rahmat doa itu sampai kepadanya tidaklah terkira sukacitanya dan dirasainya rahmat doa itu yang lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya hadiah orang-orang yang hidup kepada orang-orang yang mati ialah doa dan istigfar".

Tersebut dalam hadis:
"Bahawa roh orang-orang mati datang beramai ke langit dunia pada tiap-tiap malam dan berhenti bertentangan dengan rumah masing-masing. Tiap-tiap satu roh menyeru berkali-kali dengan suara yang hiba dan sayu, katanya: Wahai ahli rumahku, wahai kaum kerabat dan anak-anakku, wahai orang-orang yang telah mendiami rumah kami, dan yang telah membahagi dan menerima harta pusaka peninggalan kami, adakah sesiapa di antara kamu yang masih ingat kepada kami, atau yang pernah memikirkan keadaan kami yang sedang  berrada di alam barzah.....kenanglah kami dan bantulah kami dengan doa dan amal-amal yang soleh, semoga Allah memberi rahmat kepada kamu.....".

"Setelah puas menyeru dan merayu kembalilah kumpulan roh ketempat masing-masing untuk datang lagi pada malam yang berikutnya. Jika ada yang mendoakannya, kembalilah ia dengan gembira. Jika tidak, kembalilah ia dengan hiba dan hampa".

Kedua-dua hadis ini menerangkan setakat mana berhajatnya orang yang mati kepada doa orang-orang yang hidup. Sebab itulah kita diberi panduan dalam Al Quran: Surah Ibrahim-ayat 41, dan Surah Al Hasyr-ayat 10, supaya tiap-tiap seorang sentiasa berdoa memohon rahmat bukan saja bagi dirinya, ibu bapanya dan kaum kerabatnya, tetapi juga bagi seluruh umat Islam umumnya, yang hidup dan yang mati.

Rujuk: Mastika Hadith Rasulullah s.a.w.Jilid 2 ms 429.
Rujuk: Tanwir Qulub (217).